BATU KURAU: Hujan lebat yang turun beberapa bulan lalu menyebabkan keluaran durian kampung di Batu Kurau, Perak merosot sekitar 40 peratus.

Hujan dikatakan menjadi punca bunga durian yang lebat ketika itu turut gugur.

Exco Perladangan Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, selain hasil yang kurang, harga durian Batu Kurau juga rendah berbanding tahun-tahun sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, pada tahun lepas semasa pelaksanaan PKP, durian dijual antara RM8 hingga RM9 sekilo, namun, berbeza dengan tahun ini harga jualan bergantung pada permintaan dan pengeluaran.

“Tahun ini kalau kita tengok di tempat peraih, penjualan di bandar, di pekan-pekan pun ada yang sampai RM4 (sekilo). RM4 jualan kepada peruncit, kepada pembeli, kepada customer, RM4 sekilo durian kampung. Difahamkan di Kelantan pun harga lebih rendah daripada yang ada di negeri Perak,” katanya.

Razman berkata demikian ketika ditemui selepas melawat beberapa pusat pengumpulan durian di Kampung Sempeneh di sini, pada Isnin.

Menurutnya, walaupun pelbagai durian klon terdapat di pasaran, namun, durian kampung Batu Kurau masih menjadi kegemaran pengunjung yang lazimnya datang ketika hujung minggu.

Sementara itu, seorang peraih durian, Azmi Ismail mengakui, musim hujan ketika durian berbunga menjadi punca utama hasil tahun ini merosot.

“Kalau hujan banyak mesti durian rosak, buah kurang dan tak lekat. Sekarang kita tak pasar (jual) ke luar negara hanya dalam Malaysia… ada yang dihantar ke Negeri Sembilan, Kuala Lumpur,” kata Azmi.